apakah definisi terjemahan?

 Penterjemahan merupakan perbuatan mentafsir sesuatu teks dan menerbitkan semula ke dalam bahasa yang lain. Tujuan utama penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya asing (teks sumber). Penterjemah akan berusaha untuk menghasilkan pemahaman yang sempurna berpandukan prinsip penterjemahan dan beretika dalam melakukan terjemahan. Oleh yang demikian, penterjemah akan melakukan penyesuaian semula dengan terperinci supaya pembaca faham akan idea yang terkandung di dalamnya. 1.1 Definisi Terjemahan 'Terjemah' boleh didefinisikan sebagai mentafsirkan perkataan menggunakan perkataan dalam bahasa lain yang berasal daripada perkataan bahasa Arab, yaitu tarjama (‫,)ترجم‬ yutarjimu (‫,)يترجم‬ dan tarjamatan(‫)ترجمة‬ (Louis Mal'uf, 1986: 60). Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid (2007), perkataan 'tarjamah'itu sendiri mempunyai dua maksud iaitu pertama, menterjemah teks atau buku daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain yang mempunyai hubungan rapat dengan pentafsiran dan penghuraian. Ini boleh ditemui dalam buku-buku sejarah, falsafah dan sains yang diterjemahkan oleh penterjemah bahasa Arab daripada bahasa lain. Manakala maksud 'tarjamah' yang kedua ialah autobiografi. Proses terjemahan melibatkan dua bahasa iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran. Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat) telah mendefinisikan terjemahan sebagai " ...pindahan (karangan dll) daripada suatu bahasa ke suatu bahasa yang lain, alihan bahasa... ". Ini bermaksud proses penterjemahan merupakan perbuatan memindahkan sesuatu isi atau teks ke dalam bahasa lain atau menukarkan bahasa sesuatu teks tersebut. Manakala menurut New Mark (1981), penterjemahan ialah satu kesenian yang mengandungi usaha untuk menggantikan mesej atau pertanyaan bertulis dalam sesuatu bahasa dengan mesej atau pertanyaan yang sama dalam bahasa lain.

Comments